SYARIKAT penghantar makanan OdaMakan membuka peluang kepada pengusaha makanan terutamanya mereka yang berada di luar bandar untuk menggunakan aplikasinya sebagai platform mempromosikan makanan.

Pegawai Pembangunan Pemasaran OdaMakan, Nurul Shahada Mr Mama berkata, OdaMakan mula diperkenalkan pada Disember tahun lalu dan kini mempunyai 2,400 vendor dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, penghantar makanan tidak menang tangan untuk menghantar makanan kepada pelanggan dan pada masa sama memberi peluang kepada pengusaha makanan terutamanya suri rumah menjana pendapatan apabila produk makanan yang dihasilkan di muat naik dalam aplikasi OdaMakan.

“Aplikasi OdaMakan ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu penggunaan teknologi dimaksimumkan bagi menjana pendapatan dalam situasi normal baharu selain memastikan jarak sosial dan kurang interaksi langsung seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi.

“Peniaga atau penjaja yang memperoleh lebih 30 pesanan sehari boleh meraih pendapatan berlipat kali ganda dalam sehari bergantung kepada kekerapan promosi yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sehari Bersama ‘Delivery Services’, OdaMakan dan Getrunner di pejabat Empower ECER Ketereh di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengalaman Produk OdaMakan, Sabani Abdullah.

Nurul Shahada berkata, bagi tujuan penghantaran pula, terdapat 300 penghantar makan di Kelantan dan caj penghantaran adalah sebanyak RM4 bagi empat kilometer pertama manakala tambahan RM1 untuk kilometer seterusnya dengan radius maksimum sejauh 10 km.

“Pihak kami menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ini setanding syarikat e-hailing lain seperti Grab Food dan Food Panda, namun dalam masa sama perkhidmatan ini dikembangkan dengan menjalinkan usaha sama dengan Empower ECER,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program empower ECER- Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Surain Kanda berkata, peserta Empower ECER memberi maklum balas baik dan terus mendaftar dengan OdaMakan bagi membabitkan diri dalam perkhidmatan penghantaran makanan.

“Selepas Empower ECER Ketereh, usaha ini akan diteruskan ke daerah lain bagi membolehkan peserta mempelajari promosi cara digital untuk terus maju ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.