PAKAR ekonomi dan ahli akademik berpendapat penilaian semula sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) perlu dilakukan berikutan krisis pandemik Covid-19 dijangka merubah landskap ekonomi negara.

Pensyarah kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, WKB2030 dilancar pada 4 Oktober 2019 dibentuk di luar lingkungan Covid-19 dan krisis politik negara.

“Perlu ada rombakan dasar agar sasaran WKB2030 mampu kita capai.

“Penilaian semula WKB2030 penting kerana ia hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia yang mampu direalisasikan ketika setiap negara di dunia termasuk Malaysia memerlukan inisiatif pemulihan ekonomi akibat Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Mohammad Tawfik berkata, berikutan kadar pengangguran meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik itu, dasar teras pasaran kerja dan pampasan buruh di bawah WKB2030 perlu dinilai semula.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merancakkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan negara.

Ke arah ini, Seri Paduka bertitah WKB2030 menjadi pencetus hala tuju baharu pembangunan negara.

Dr Mohammad Tawfik anggap setiap negara di dunia termasuk Malaysia memerlukan inisiatif pemulihan ekonomi akibat Covid-19.
Dr Mohammad Tawfik anggap setiap negara di dunia termasuk Malaysia memerlukan inisiatif pemulihan ekonomi akibat Covid-19.

Semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah beliau yakin dasar dan strategi rancangan dirangka melalui pelbagai pihak akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan memajukan negara.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Kenanga Research, Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie berkata, impak Covid-19 menyebabkan penurunan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi dan memakan masa lama untuk pulih.

Justeru, beliau berkata, negara perlu menilai semula sasaran menjadi negara berstatus maju menjelang 2025 serta kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan di bawah WKB2030.

“Kejayaan Malaysia mencapai objektif WKB2030 turut bergantung kepada polisi dan kepimpinan politik negara,” jelasnya.

Pakar ekonomi bebas Dr Baayah Baba berpendapat kerajaan perlu membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dengan mengambil kira impak daripada COVID-19.

Memandangkan RMK-12 merupakan fasa pertama WKB2030, beliau berkata, ia perlu dilaksanakan dengan perancangan yang lebih holistik bersesuaian dengan keadaan ekonomi negara.

“Jika dilihat pembukaan semula perniagaan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu, kebanyakan syarikat dan perniagaan mengamalkan normal baharu disebabkan penularan pandemik itu di negara ini.

“Oleh itu, kerajaan perlu menimbangkan untuk memudah cara perniagaan dan rakyat dalam normal baharu seperti menyediakan kemudahan internet dengan capaian laju dan memberikan pelepasan cukai bagi syarikat yang terkesan semasa pelaksaan PKP,” katanya.