NESTLE Malaysia menyalurkan RM15 juta melalui inisiatif Nestle Cares dan beberapa inisiatif lain untuk bantuan segera menangani wabak Covid-19 dan program bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kumpulan berpendapatan rendah yang terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia), Juan Aranols berkata, pihaknya sedar untuk mengembalikan keadaan seperti sedia kala selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir bukanlah mudah kerana ramai rakyat Malaysia akan berdepan kehilangan pekerjaan dan banyak perniagaan kecil menghadapi cabaran.

“Inilah masanya kami memberikan bantuan kepada mereka dan kami berikrar untuk membantu lebih 200,00 rakyat Malaysia.

“Fasa pertama yang memberi tumpuan kepada bantuan segera menerusi kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan memberikan pelbagai sumbangan makanan kepada barisan hadapan serta mereka yang memerlukan sudahpun dijalankan.

“Fasa kedua akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah membantu kelangsungan hidup komuniti yang paling terkesan akibat wabak ini.

“Secara ringkasnya, usaha kami adalah untuk membantu mereka yang paling terkesan akibat krisis Covid-19 ini untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, melalui bantuan fasa kedua iaitu untuk menyokong kelangsungan hidup, Nestle Malaysia akan membantu menangani isu sosioekonomi yang penting termasuk kehilangan mata pencarian bagi kumpulan B40 dan komuniti berpendapatan rendah, serta PKS.

“Menerusi jenama ikonik seperti Milo, Maggi atau Nescafe, kami mewujudkan peluang pekerjaan buat komuniti B40, di samping memberi sokongan kepada pembekal dan penjual tempatan dalam rantaian nilai Nestle yang terjejas, seterusnya memastikan mereka mengekalkan kesinambungan perniagaan ketika penularan wabak Covid-19.

“Ia termasuk PKS, pengedar, pengendali restoran makanan dan minuman, dan pemilik kedai kopi. Program pengagihan makanan akan turut dilaksanakan untuk kumpulan B40 dan keluarga berpendapatan rendah, golongan pelajar yang kurang bernasib baik dan petugas barisan hadapan di seluruh negara,” katanya.