Nestle adalah antara puluhan syarikat yang telah menderma jutaan ringgit dalam usaha membenteras wabak COVID-19. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Nestlé Malaysia berikrar untuk membantu lebih 200,000 rakyat Malaysia melalui program bantuan segera bagi menangani wabak COVID-19 dan program bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana, serta kumpulan berpendapatan rendah yang terkesan.

Nestlé Malaysia akan memberikan sumbangan berjumlah RM15 juta yang akan disalurkan melalui inisiatif Nestlé Cares serta pelbagai inisiatif lain oleh jenamanya sebagai usaha menangani pandemik COVID-19.

“Kami sedar bahawa mengembalikan keadaan seperti sedia kala selepas tempoh PKP berakhir bukanlah mudah kerana ramai rakyat Malaysia akan berdepan kehilangan pekerjaan dan banyak perniagaan kecil akan menghadapi cabaran. Inilah masanya kami memberikan bantuan kepada mereka dan kami berikrar untuk membantu lebih 200,00 orang rakyat Malaysia," kata Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, pembiayaan tambahan turut diperuntukkan bagi memberi bantuan kewangan kepada pertubuhan-pertubuhan amal di seluruh negara, menerusi peraduan terbesar Nestle yang sedang diadakan pada masa ini – Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup.