Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Bhd, menjalinkan kerjasama dengan rangkaian restoran ayam goreng Korea Selatan, Kyochon F&B Co Ltd melancarkan menu tanpa daging menggunakan sajian berasaskan tumbuhan, Harvest Gourmet.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, dalam usaha memenuhi cita rasa pelanggan yang mahu mengurangkan pengambilan daging, Nestle Professional bekerjasama dengan KyoChon untuk memperkenalkan produk daging berasaskan tumbuhan buatan Malaysia yang pertama.

“Terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan berasaskan tumbuhan oleh itu kami mempercepatkan penyelesaian itu bagi memenuhi kehendak di dalam rumah mahupun di luar rumah.

“Dengan menambah penyelesaian berasaskan tumbuhan tanpa daging dalam portfolio produk, kami menyediakan cara yang lebih cekap dan lestari untuk menghasilkan makanan untuk membantu mengurangkan penggunaan sumber asli, sambil menyediakan kandungan khasiat yang tinggi buat pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan KyoChon Malaysia Terry Goh berkata, walaupun syarikat terkenal dengan ayam goreng Korea premium, menu tanpa daging baru itu dihasilkan bagi memenuhi pilihan diet moden kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan daging.

BIBIMBAP KyoChon. FOTO Ihsan Nestle
BIBIMBAP KyoChon. FOTO Ihsan Nestle

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Nestle Professional dan memasukkan produk Harvest Gourmet dalam tawaran menu kami.

“Ini bagi memberi pengguna lebih banyak pilihan untuk menikmati cita rasa istimewa KyoChon bersama rakan dan keluarga mereka, sama ada ayam sebenar atau tanpa daging dengan rasa yang sama,” katanya.

Daging berasaskan tumbuhan ini terdiri daripada schnitzel tanpa daging Harvest Gourmet dengan rasa seperti ayam sebenar, yang diperbuat sepenuhnya daripada tumbuhan seperti gandum, ubi bit merah dan soya bukan GMO, serta kaya dengan protein dan sumber serat yang baik.

Mula dijual sejak Februari 2021, pilihan sajian berasaskan tumbuhan baharu KyoChon ini merangkumi Balutan Tanpa Daging KyoChon (schnitzel ayam tanpa daging, salad segar, keju dan sos KyoChon yang dibalut dalam roti tortila gandum) dan Bibimbap Tanpa Daging KyoChon (schnitzel ayam tanpa daging, sayur campur, cendawan, rumpai laut, empingan bawang putih dan telur goreng yang ditabur hias di atas nasi beras pendek).

Ia didatangkan dalam dua perisa iaitu bawang putih soya istimewa atau lada merah yang boleh didapati di semua cawangan KyoChon di seluruh negara.