Menurut Muhyiddin, kerajaan juga sedar tentang kebimbangan segelintir pihak sekiranya PKP ditamatkan.

KUALA LUMPUR: Negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jumlah kerugian yang dialami kerajaan sejak 18 Mac lalu adalah sebanyak RM63 bilion.

"Jika PKP diteruskan untuk tempoh sebulan lagi jumlah kerugian yang akan dialami adalah sebanyak RM35 bilion.

"Ini menjadikan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM98 bilion … hampir RM100 bilion," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan juga sedar tentang kebimbangan segelintir pihak sekiranya PKP ditamatkan.

"Saya pun bimbang juga … dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila ‘lockdown’ dihentikan, jumlah kes-kes positif COVID-19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan.

"Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID-19," katanya.

Justeru, beliau memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati bermula 4 Mei ini.