Neelofa meletak jawatan sebagai Pengarah Bebas bukan Eksekutif AirAsia Group Bhd bagi memberi tumpuan kepada komitmen peribadinya. -Gambar Instagram @neelofa

KUALA LUMPUR : Selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa meletak jawatan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd bagi memberi tumpuan kepada komitmen peribadinya.

Dalam maklumat kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan tambang rendah itu memaklumkan pelakon dan pengacara itu meletakkan jawatan itu bagi memberi tumpuan kepada komitmennya.

"Kami menerima surat peletakan jawatan bertarikh 17 Ogos 2020 daripada Neelofa dan didaftarkan pada 19 Ogos (hari ini)," kata AirAsia Group.

Neelofa, 31, dilantik menjawat jawatan itu pada Disember 2017.

Setakat pukul 8.30 malam, Neelofa tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai peletakan jawatan itu dalam laman sosialnya. 

Neelofa adalah seorang selebriti berjaya yang menceburi bidang keusahawan dan telah membina empayar perniagaannya menerusi jenama Naelofar Hijab.

Pelantikan beliau yang diluluskan sebulat suara oleh Ahli Lembaga Pengarah AirAsia sebagai ikon syarikat penerbangan itu adalah susulan kejayaan dalam kariernya.

Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini berkata, pihaknya gembira dan mengalu-alukan pelantikan berkenaan.

"Pengalaman beliau sebagai usahawan dan pencipta jenama akan menjadi tidak ternilai kepada AirAsia. Beliau juga boleh memberikan pandangan baharu dalam perniagaan kami semasa kami sedang menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan digital.

"Neelofa juga adalah seorang yang sangat pintar, muda dan bebas, menepati apa yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus maju seterusnya menjadi syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik, dipercayai dan dihormati di dunia," katanya. 

Sementara itu, ketika dilantik menjawat jawatan itu, Neelofa menyatakan beliau teruja untuk menyertai keluarga besar AirAsia.

"Saya gembira untuk menggalas peranan baru ini seterusnya mencabar diri saya untuk pergi lebih jauh," katanya dilaporkan media sebelum ini.