PENGUMUMAN Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Prihatin Tambahan memberi nafas baharu untuk kelangsungan atau survival khususnya kepada usahawan bersaiz mikro.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Amir Hakimin Che Razali berkata, kebanyakan operasi syarikat dihentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini memberi kesan kepada aliran tunai syarikat.

“Bantuan tambahan Pakej Prihatin Tambahan ini dilihat membantu PKS membuat persediaan awal kepada peningkatan dalam ekonomi apabila penularan Covid-19 berkurangan.

“Ia juga untuk memastikan kewangan syarikat berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk meningkatkan operasi perniagaan apabila tempoh PKP berakhir,” katanya.

Menurutnya, geran khas RM3,000 dan subsidi upah RM800 kepada syarikat PKS dilihat mampu memastikan prestasi usahawan terus berada pada landasan pertumbuhan sedia ada.

“Sektor PKS menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 66 peratus kepada guna tenaga dan 17.3 peratus kepada eksport negara.

“Sumbangan PKS kepada ekonomi negara perlu dimantapkan dengan inisiatif berterusan daripada kerajaan bukan hanya sebagai pendorong, tetapi pemacu utama pertumbuhan,” katanya.

Katanya, perkara paling utama usahawan perlu merebut peluang yang diberikan dan membuat percaturan terbaik.

“Perkara ini penting dalam memastikan usahawan dapat menstabilkan kewangan mereka bagi menghadapi fasa untuk beroperasi semula selepas tempoh PKP tamat kelak,” katanya.