MyGroser mengawal sendiri rantaian bekalan, memastikan pelanggan mendapat nilai dan kualiti barangan maksimum dari setiap pembelian – Stephen P Francis, Ketua Pegawai Eksekutif MyGroser

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan secara berfasa bermula 18 Mac lepas, menyaksikan peningkatan pemintaan secara mendadak untuk barangan melalui pelantar atas talian.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MyGroser Sdn Bhd (MyGroser), Stephen P Francis mendedahkan, fenomena itu menunjukkan rakyat kini sudah mula bergerak ke arah pendigitalan, dan ia sudahpun dikira sebagai normal baharu.

Bagi memastikan MyGroser mampu menghadapi persaingan dalam bidang penjualan melalui pelantar atas talian, serta memastikan ia mampu memenuhi permintaan masyarakat, Stephen berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan pelabur luar untuk meraih sekitar RM20 hingga RM30 juta.

“Pada permulaan perniagaan, kumpulan pengasas MyGroser sendiri yang membiayai kesemua operasi. Kami sebelum ini telah melaburkan beberapa juta ringgit duit sendiri untuk memastikan perniagaan berjalan. Ia menunjukkan kami sangat serius.

“Tetapi kini, kami sedang berbincang dengan pelabur swasta, penyedia modal, malah dengan beberapa bank untuk meraih antara RM20 hingga RM30 juta untuk fasa pengembangan perniagaan kami ke tahap seterusnya,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Stephen berkata, dengan modal baharu itu, mereka merancang untuk menambah nilai perkhidmatan, membuka lokasi baharu, serta menambah rangkaian produk dari 12,000 ke 20,000 jenis dalam tempoh dua belas bulan akan datang.

Setakat ini, beliau berkata, MyGroser mempunyai perkhidmatan di Lembah Klang, dan mereka menyasarkan untuk membuka lokasi baharu di dua lagi bandaraya di negara ini.

Ditanya mengenai kelebihan MyGroser berbanding jenama lain, Stephen berkata, mereka mempunyai keupayaan untuk mengawal rantaian bekalan, seterusnya memastikan pelanggan mendapat nilai dan kualiti barangan maksimum dari setiap pembelian.

“Jika anda mahu sebuku roti segar dihantar pada pukul 4 petang, produk itu akan keluar dari kedai roti pukul 3.30. Jadi ia bukan dimasak pada sebelah pagi, tetapi dihantar pada sebelah petang, tidak. Ia segar.

“Jika anda ada susu jenama kegemaran tersendiri. Kami akan mengenal pasti jenama itu, dan kami akan terus ke pembekal tanpa melalui mana-mana pihak tengah. Jika anda memesan barangan basah, ia akan diletakkan dalam kotak kawalan suhu untuk memastikan kesegaran.,” katanya.

Selain itu, Stephen berkata, apa yang menjadikan perniagaan mereka unik adalah kerana, mereka tidak menggunakan khidmat penghantar barangan pihak ketiga, sebaliknya menggunakan khidmat penghantaran sendiri.

Tambahnya lagi, kesemua kakitangan mereka telah dilatih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dari segi pengawalan barangan dan kebersihan.