MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY), menyasarkan untuk meraih dana sebanyak RM1.5 bilion menerusi terbitan tawaran awam permulaan (IPO).

Terbitan IPO itu akan menjadikan MR DIY termasuk dalam kedudukan 40 syarikat senaraian awam terbesar di Malaysia dari segi permodalan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, IPO terbabit bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) pada 26 Oktober ini.

Katanya, dana itu dijangka diraih menerusi tawaran 941.9 juta saham biasa baharu dan sedia ada dengan harga IPO RM1.60 sesaham.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM276.1 juta akan digunakan untuk pembayaran hutang bank dan selebihnya, RM25.3 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

“Pembayaran pinjaman ini akan memberikan penjimatan faedah kira-kira RM15.2 juta setahun,” katanya pada sidang media maya sempena majlis pelancaran prospektus IPO MR DIY di sini, semalam.

Menurutnya, penyenaraian MR DIY dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion dari segi permodalan pasaran selepas sahamnya diapungkan, sekali gus menjadi IPO terbesar di Malaysia tahun ini.

Ong berkata, sejak penubuhan syarikat itu pada 2005, MR DIY kini berada di landasan kukuh meluaskan rangkaiannya dengan menyasarkan pembukaan 307 cawangan di seluruh negara menjelang 2021, sekali gus mempunyai penguasaan pasaran 29.1 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, prestasi kukuh yang dicapai MR DIY membolehkan syarikat itu menarik minat pelabur asing yang turut melabur dalam IPO berkenaan.

“IPO ini turut menarik sokongan beberapa pelabur terkenal di dunia yang mewakili 76 peratus daripada tawaran untuk pelabur institusi.

“Ia tidak termasuk saham ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Manakala di peringkat tempatan, terdapat juga beberapa dana terbesar di Malaysia menyertai IPO itu antaranya Affin Hwang, Eastspring, Hong Leong Assurance dan Hong Leong Asset Management,” katanya.

Sementara itu, ditanya jika terdapat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ong berkata, ia tidak akan menjejaskan operasi MR DIY dan syarikat akan terus beroperasi memastikan keperluan masyarakat dapat dipenuhi.