MPH Group (M) Sdn Bhd (MPH Group) dalam usaha transformasi perniagaan MPH Bookstores secara brick and mortar kepada e-dagang bagi meningkatkan jualannya melalui pelaksanaan teknologi.

Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat menggabungkan semua unit runcit yang kurang berfungsi, menyalurkan sebahagian besar sumbernya untuk meningkatkan bahagian perniagaan e-dagang dan digitalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Donald Kee berkata, pendekatan itu mengekalkan cawangan menguntungkan di lokasi utama sebagai titik sentuhan penting bagi pelanggan setia.

“Bahagian e-dagang syarikat, MPHONLINE.COM menyaksikan peningkatan penjualan ketara disebabkan perubahan tingkah laku pembelian pengguna, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rancangan transformasi digital MPH Group itu sudah dilaksanakan tahun lalu yang diketuai oleh pasukan pengurusan kanan baharu, yang ditugaskan untuk memindahkan perniagaan ke bidang digital sejajar dengan era Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, syarikat itu mahu berhubung dengan pelanggan melalui pelbagai titik sentuhan, sama ada dalam talian atau luar talian dengan menggunakan pendekatan omni-channel.

“Usaha menaik taraf MPHONLINE.COM sedang dijalankan dan dijangka dilancarkan semula pada suku keempat tahun ini. Ia akan mempunyai semua ciri saluran omni, yang membolehkan pelanggan mendapat pengalaman membeli-belah yang lancar,” katanya.

Menurutnya, selain kedai fizikal, pihaknya juga akan memperkenalkan mesin layan diri di lokasi strategik seperti stesen LRT/MRT, universiti dan hospital untuk menjangkau pelanggan yang lebih luas, sambil menawarkan kepuasan segera bagi mereka yang tidak sabar menunggu buku mereka untuk dihantar ke rumah atau pejabat.

“Bayangkan pelanggan boleh membuat pesanan dalam talian dan memilih untuk mengambilnya dari kedai fizikal kami atau dari mesin layan diri ketika mereka dalam perjalanan.

“Ini yang ingin kami tawarkan kepada pelanggan ketika beralih ke ekosistem digital dan e-dagang,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya pihaknya juga turut meneroka penyelesaian e-pembelajaran dan dijangka melancarkan platform e-pembelajaran interaktif sosial pertama di Asia Tenggara pada separuh kedua tahun ini.

Platform baru ini menawarkan pelbagai penyelesaian dari kandungan video atas permintaan hingga e-book dan bilik darjah langsung untuk memenuhi peningkatan populariti pembelajaran maya.