MEDIA Prima Digital (MPD) dipilih sebagai salah satu daripada 18 organisasi dalam Cabaran Inovasi Inisiatif Berita Google (IBG) dari 255 penyertaan seluruh Asia Pasifik dan menjadi satu-satunya syarikat yang mewakili Malaysia di rantau ini.

Portal permainan dan e-sukan MPD, MyGameOn telah dipilih untuk mengemukakan idea dan dengan sokongan IBG, berusaha untuk membina enjin memperakukan kandungan bagi meningkatkan penggunaan kandungan dari komuniti pemain melalui penyesuaian.

Inisiatif Berita Google (IBG) adalah usaha global Google untuk bekerjasama dengan industri berita bagi membantu mengembangkan kewartawanan dalam era digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali berkata, pihaknya berbesar hati kerana terpilih untuk inisiatif yang mempercayai pemerkasaan pemangkin berita, terutamanya pada masa yang mencabar ini.

“Kami percaya ini adalah selari dengan komitmen kami untuk menjadi syarikat media digital pertama yang terkemuka. Dengan sokongan dan kepercayaan Google, kami akan terus berusaha membentuk industri berita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain MyGameOn, Media Prima Digital juga telah mengambil alih operasi IGN Asia Tenggara baru-baru ini untuk mengembangkan lagi portfolio permainan dan e-sukan serta kewujudan digitalnya di rantau ini.

Capaian digital Media Prima ketika ini berjumlah lebih dari 15.3 juta pelawat unik bulanan di seluruh platform digital kumpulan, memenuhi segmen audiens berbeza dan menyebarkan kandungan yang relevan di setiap platform.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan MPD, Nicholas Sagau berkata, Media Prima Digital bekerjasama rapat dengan kedua-dua sektor awam dan swasta untuk mengembangkan e-sukan sambil menyokong aspek penganjuran sihat dan profesional.

“Dengan sokongan Google, kami berusaha untuk terus menyampaikan kandungan yang bernilai kepada audiens dan yakin dengan visi kami membawa e-sukan ke tahap lebih baik,” katanya.