PEMINJAM pinjaman sewa beli yang memilih mengambil moratorium enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020 akan diberi pilihan dari segi pembayaran balik.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam kenyataan berkata, pelanggan boleh memilih untuk membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan caj faedah tambahan.

“Mereka juga boleh terus membayar balik ansuran selepas Oktober 2020 menerusi lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

“Dalam kes ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dicaj ke atas jumlah ansuran tertangguh sehingga dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh lanjutan enam bulan,” katanya.

ABM berkata, bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium sebaik menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium.

“Ini bermakna, pelanggan perlu terus membayar ansuran bulanan seperti biasa mengikut jadual asal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bank tidak mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak bagi April dan Mei oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih dari 30 Jun 2020.

“Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru bermula Julai 2020 dan seterusnya,” katanya.