“JUMLAH moratorium yang diberikan Bank Rakyat kepada pelanggannya mencecah sehingga RM6 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Rosman Mohamed.

“Moratorium atau tanggungan pembayaran yang kita beri selama enam bulan itu membabitkan jumlah RM1 bilion yang kita tidak kutip pada setiap bulan selama enam bulan.

“Walaupun jumlah itu amat besar, ia adalah satu usaha yang terpaksa dibuat.

“Covid-19 ini bukan satu perkara yang kita minta dan bukan sahaja kerajaan yang kena membantu, tetapi semua lapisan masyarakat. Kita perlu memberi sokongan yang padu supaya ekonomi kita dapat dipulihkan,” katanya dalam satu temu bual di Ruang Bicara Bernama TV.

Walaupun bank itu amat prihatin, proses susulan dan pengambilan hutang akan dibuat dengan tegas.

“Bank Rakyat mengenal pasti kaedah untuk mengutip hutang ini. Ini adalah tanggungjawab bersama, terutama selepas tempoh moratorium berakhir. Jika anda mahu melihat Bank Rakyat terus berjaya dan membuat bayaran dividen, Bank Rakyat kena maju,” katanya.

Katanya, pemberian moratorium itu bermakna ada kos yang perlu ditanggung pihak bank.

“Pada hujungnya, bank perlu berprestasi dan merekodkan kejayaan. Kalau bank tak berjaya macam mana kita nak menjana ekonomi pada masa akan datang,” tambah Rosman.

Bank Rakyat mempunyai 1.3 juta pelanggan dan aset bernilai RM109 bilion.

Di samping moratorium yang diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi khusus bagi menghadapi Covid-19, Bank Rakyat juga memperuntukkan RM300 juta di bawah kempen BRCares.

Bantuan itu disalurkan kepada kepada koperasi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan wanita dan perniagaan mikro serta segmen perniagaan teras runcit yang terjejas akibat pandemik itu.

“Sebanyak RM50 juta dikhususkan kepada usahawan wanita, RM50 juta untuk usahawan mikro dan RM200 juta kepada koperasi kecil termasuk PKS.

“Matlamat utama adalah untuk membantu mereka. Malah, kita berikan mereka penangguhan bayaran selama sembilan bulan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Bank Rakyat sedang melihat kepada idea untuk membuka beberapa cawangan mini, terutama di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan serta kewangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19