Kuala Lumpur: Sektor perbankan dijangka menanggung kerugian pengubahsuaian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium yang berakhir September ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bermakna anggaran RM1.06 bilion kerugian ditanggung bank bagi setiap bulan bermula April lalu, mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 9).

“Keseluruhan jumlah kerugian dianggar memecah RM6.4 bilion, yang bersamaan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion, sama ada kepada rakyat atau peminjam.

“Apa yang penting ialah memastikan rakyat terpelihara, (dan) jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kerajaan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa dan akan mengambil tindakan diperlukan seperti dibuat sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta dijelaskan sama ada moratorium kewangan bank akan dilanjutkan.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia antara negara terawal melaksanakan moratorium secara automatik, selain Singapura, Thailand, Indonesia, Itali, Kanada dan Amerika Syarikat.

“Namun, hanya Malaysia memberi moratorium selama enam bulan dan setakat 20 Julai lalu, nilai moratorium tersebut bernilai RM59 bilion yang keseluruhannya 7.7 juta rakyat memanfaatkannya,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga prihatin nasib peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan sedia mengkaji penambahan geran khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Beliau berkata, ketika ini kerajaan memperuntukkan RM2.1 bilion untuk geran itu untuk membantu 700,000 pengusaha PKS.

“Setakat ini 545,000 pengusaha mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

TENGKU ZAFRUL. FOTO Arkib NSTP
TENGKU ZAFRUL. FOTO Arkib NSTP