Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menandatangani perjanjian kolaborasi Model Baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda bersama Agrobank dengan nilai keseluruhan kerjasama berjumlah RM100 juta.

Usaha sama ini akan memfokuskan pelaksanaan projek berskala besar dan bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya yakin bahawa usaha sama dengan Agrobank akan menjadi satu jalinan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga peneroka.

“Secara keseluruhan, projek usaha sama ini menyasarkan pembabitan 100 koperasi peneroka dan 500 individu.

“Nilai keseluruhan usaha sama ini berjumlah RM100 juta dan dijangka akan memberi tambahan pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap peneroka dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi, manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu. “Sehingga kini, projek yang disenaraikan adalah projek penanaman nanas MD2, penanaman cili secara fertigasi dan penanaman halia muda dan tanaman bernilai tinggi yang lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian model baharu program pembangunan peneroka di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang.

Model baharu ini menggariskan pemain industri akan membeli semula hasil yang dikeluarkan dan turut menguruskan operasi projek bagi menyelesaikan isu kemampuan warga peneroka yang sudah berumur untuk menguruskan kerja pertanian.

Dalam usaha sama ini, Felda berperanan sebagai badan yang mengenal pasti lokasi dan kumpulan sasar dalam kalangan peneroka dan koperasi rancangan untuk projek ini dijalankan dan mencadangkan lokasi kepada pihak Agrobank.

Pihak Agrobank seterusnya akan menilai kesesuaian tapak dan mencadangkan jenis projek dan pemain industri yang bersesuaian.

Setiap peneroka atau koperasi rancangan yang layak akan menerima geran daripada Felda bagi kos modal tertakluk kepada nilai maksimum RM20,000 berdasarkan penilaian Agrobank.

Kos operasi pula akan dibiayai oleh Agrobank dengan jaminan daripada Felda.

Pelaksanaan projek akan diuruskan pemain industri dengan pemantauan sepenuhnya oleh koperasi atau badan peneroka.

Kos pembiayaan Agrobank hanya perlu mula dibayar oleh peserta apabila projek sudah berhasil.