Kuala Lumpur: MNRB Holdings Berhad (MNRB) merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 48.4 peratus kepada RM140.1 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2020 (TK21) berbanding RM94.4 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Premium kasar dan sumbangan takaful MNRB juga meningkat 12.4 peratus kepada RM1.81 bilion bagi tempoh sama berbanding RM1.61 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud berkata, walaupun beroperasi dalam situasi pandemik yang mencabar dan belum pernah terjadi sebelumnya selama hampir setahun, semua anak syarikat yang beroperasi terus kekal berdaya tahan dan berjaya menyumbang kepada keuntungan bersih sembilan bulan tertinggi yang pernah dicapai oleh MNRB.

“Prestasi ini malah melebihi keuntungan bersih tahun penuh sebanyak RM132.9 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, bagi anak syarikatnya, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) turut mencatat pertumbuhan premium kasar sebanyak 10.3 peratus kepada RM1.03 bilion daripada RM941.1 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Zaharudin berkata, ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan perniagaan luar negara.

“Keuntungan bersih Malaysian Re meningkat 59.7 peratus kepada RM76.8 juta berbanding RM48.1 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu, terutamanya didorong oleh prestasi pengunderaitan yang lebih baik.

“Pendekatan perniagaan Malaysia yang proaktif dan berkesan juga menunjukkan hasil yang kukuh untuk tempoh sembilan bulan 2020.

“Bagi masa hadapan, Malaysian Re akan terus memanfaatkan penarafan kekuatan kewangan syarikat insurans (IFS) yang kuat untuk memperluas kehadirannya di pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, perniagaan takaful am kumpulan, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS General) juga mencatat pertumbuhan ketara dalam sumbangan kasarnya, yang meningkat 36.5 peratus kepada RM318.5 juta bagi tempoh kewangan sama berbanding RM233.3 juta.

Sejajar dengan itu, keuntungan bersih Takaful IKHLAS General meningkat 65.7 peratus kepada RM22.2 juta daripada RM13.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Mengenai prestasi anak syarikat takaful keluarga, sumbangan kasar Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS Family) meningkat 2.3 peratus kepada RM450.9 juta.

Bagaimanapun, keuntungan bersih merosot 39.9 peratus kepada RM24.3 juta daripada RM40.4 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kenaikan nilai saksama dari portfolio pelaburannya.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pertumbuhan perniagaan takaful keluarga kami, terutamanya disebabkan oleh sekatan pergerakan yang dihadapi oleh ejen kami dan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan yang dialami oleh rakan Bancatakaful kami.

“Kami melihat pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku pertama tahun kewangan, tetapi perniagaan secara beransur-ansur meningkat sejak itu,” katanya.