KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) MITI dan agensi akan terus menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) yang menjadi antara sektor paling utama bagi pelaburan asing di Malaysia.

Pada 2019, sektor E&E menyumbang sebanyak 6.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menghasilkan RM372.67 bilion dari segi nilai eksport.

Pada tahun sama, sektor itu mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM25.7 bilion atau 31 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan.

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sesi libat urus dijalankan bagi memahami impak usaha yang diperkenalkan kerajaan seperti insentif cukai kepada pelabur di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Penjana yang membantu dan memudah cara operasi pihak pelabur di Malaysia.

“Risikan industri seperti ini adalah penting bagi memastikan MITI dapat memperkenalkan polisi yang menggalakkan pelabur asing.

“Terutamanya dalam sektor E&E supaya terus menjadikan Malaysia sebagai hab produksi kilang mereka di rantau Asia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Terdahulu katanya, MITI mengambil inisiatif turun padang melawat kilang Kumpulan Western Digital, juga pelabur dari Amerika Syarikat, WD Media Sdn Bhd dan SanDisk Storage Sdn Bhd di Pulau Pinang, semalam.

Inisiatif terbabit adalah bagi mendapatkan gambaran yang sebenar mengenai situasi yang dihadapi syarikat dalam meneruskan operasi mereka sejak pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak 1973, Kumpulan Western Digital membuat pelaburan berjumlah RM16 bilion di Malaysia dan menjana lebih 9,000 peluang pekerjaan dan 90 peratus tenaga kerjanya rakyat tempatan.

Katanya, selain penjanaan peluang pekerjaan, pelaburan Kumpulan Western Digital juga turut membuka peluang perniagaan kepada 900 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.

“Komitmen Kumpulan Western Digital ini mencerminkan keyakinan pelabur dari luar negara untuk terus mengembangkan operasi mereka di negara ini.

“Dalam usaha untuk memampankan dan memulihkan semula ekonomi Malaysia, MITI sebagai barisan hadapan ekonomi negara akan memastikan penambahbaikan ekosistem perniagaan di Malaysia bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia,” katanya.

Lokman berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk rakyat Malaysia selain membuka peluang perniagaan kepada PKS tempatan untuk membekalkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelabur asing di negara ini.