KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) mengesahkan menerima 9,290 permohonan daripada syarikat pelbagai sektor pembuatan untuk meneruskan operasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga jam 12 tengah hari ini, daripada jumlah itu, 2,732 syarikat atau 29.41 peratus dibenarkan beroperasi, manakala 2,794 (30.08 peratus) permohonan ditolak.

Manakala 1,885 (20.29 peratus) adalah di dalam senarai pertimbangan (KIV) dan selebihnya (1,879, 20.22 peratus) masih dalam proses saringan.

MITI menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, kebenaran untuk beroperasi perlu diberi kepada syarikat tertentu bagi memastikan bekalan produk penting dan kritikal akan mencukupi untuk kegunaan orang ramai sepanjang PKP.

“Kebenaran yang diberikan ini juga adalah sah sehingga 14 April 2020.

“Bagi syarikat yang tidak diluluskan pula, antara punca permohonan mereka ditolak adalah kerana kebanyakan syarikat tidak mematuhi syarat yang ditetapkan antaranya termasuklah syarikat yang memohon bukan dalam sektor yang penting dan kritikal, syarikat mengemukakan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat dan syarikat tidak mengemukakan pengurangan jumlah tenaga kerja ke tahap minima ataupun sekurang kurangnya 50 peratus seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Antara sektor pembuatan dan pengeluaran barang keperluan umum yang dikategorikan penting dan kritikal adalah makanan dan minuman, barangan rumah (termasuk pembasmi kuman), peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka), farmaseutikal, bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri pemakanan dan minuman, peranti perubatan, dan pembedahan serta minyak dan gas.

Miti ingin mengingatkan syarikat yang mendapat kelulusan untuk mengikut syarat ditetapkan kerajaan, antaranya memastikan hanya jumlah pekerja dan senarai pekerja diluluskan Miti sahaja datang bekerja; menyediakan saringan suhu badan setiap hari, menyediakan sanitasi tangan dan topeng muka untuk pekerja, memastikan premis disanitasi tiga kali sehari,mengamalkan jarak sosial dan jika ada pekerja yang dijangkiti Covid-19 majikan perlu segera memaklumkan Pejabat Kesihatan atau hospital kerajaan terdekat.

Katanya, senarai nama syarikat yang diberi kelulusan sudah diberikan Miti kepada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri untuk pemeriksaan dan pemantauan.

Kegagalan syarikat mengikut ditetapkan boleh menyebabkan kelulusan mereka dibatalkan dan ditarik balik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19