Sudah tiba masanya kerajaan memberi fokus menyeluruh dalam memulakan dan merangsang semula sektor ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi.

Keputusan kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi dijangka akan memberi impak positif ke atas pertumbuhan ekonomi, pendapatan negara dan kelangsungan pekerjaan rakyat.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah ini, sumber pendapatan negara akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan individu juga akan terjejas.

Katanya, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan untuk sebulan lagi, Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) akan mencatatkan kerugian RM35 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

“Penyusutan nilai eksport bagi sektor pembuatan sahaja adalah dianggarkan sebanyak RM32 bilion bagi setiap dua minggu PKP beroperasi.

“Kerajaan juga berharap dengan pembukaan sektor ekonomi ini, komuniti perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memulihkan semula operasi perniagaan mereka, mengukuhkan aliran tunai, membina semula rantaian bekalan dan menangani risiko kehilangan pasaran eksport.

“Pada masa ini, PKS menyumbang 66 peratus kepada tenaga kerja di Malaysia. Maka, tindakan kerajaan pasti dapat menjamin kelangsungan pekerjaan dan pendapatan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, langkah kerajaan juga adalah pendekatan proaktif dan bersesuaian bagi memastikan ekonomi negara terus kekal mampan dan berdaya saing.

Beliau berkata, keberkesanan langkah terbabit memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak, terutama sektor swasta, persatuan industri dan dewan perniagaan.

“Dalam melaksanakan strategi pemulihan ekonomi, komuniti perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu.

“Amalan yang menjadi kebiasaan sebelum ini mungkin tidak lagi terpakai. Syarikat yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga buruh kini perlu mengurangkan kebergantungan mereka dan memberi tumpuan lebih kepada automasi serta penggunaan teknologi yang meluas,” katanya.