KUALA LUMPUR: Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad akan menceburi bidang perniagaan baharu dengan menghasilkan minyak pelincir kenderaan jenama sendiri melalui kerjasama dengan Hyrax Oil Sdn Bhd (Hyrax Oil).

Pengerusi KPDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, kerjasama itu terjalin selepas beberapa perbincangan dilakukan kedua-dua pihak berhubung penghasilan produk berkenaan yang dijangka berada di pasaran beberapa bulan lagi.

“Dalam usaha menambah pendapatan lebih 104,000 anggota koperasi ini, kami mengambil inisiatif untuk menceburi bidang perniagaan baharu dengan menghasilkan minyak pelincir kenderaan jenama sendiri.

“Ini bagi membolehkan keuntungan yang diraih melalui perniagaan itu diagihkan kepada anggota kami yang bukan saja terdiri daripada anggota polis masih berkhidmat, malah merangkumi mereka yang sudah bersara dan untuk pemberian dividen,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara KPDRM dengan Hyrax Oil Sdn Bhd di Bangunan Koperasi Polis di sini, semalam.

Perjanjian kolaborasi dua hala itu ditandatangani oleh Setiausaha KPDRM, Datuk Rosli Din bersama Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hyrax Oil, Aflan Ariff dengan disaksikan Ayub serta Pengarah Urusan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin.

Ayub berkata, kerjasama itu juga akan membuka peluang kepada anggota koperasi bergelar usahawan dengan menjadi stokis atau pengedar bagi produk berkenaan di seluruh negara.

“Pada masa sama, kami berhasrat membuka bengkel kenderaan yang akan dikendalikan anggota KPDRM dengan sasaran sekurang-kurangnya satu bengkel di setiap negeri dalam masa terdekat.

“Dengan adanya inisiatif ini, kami berharap ia dapat membantu meningkatkan pendapatan anggota KPDRM melalui pembabitan mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Hamizah berkata, produk yang akan dihasilkan dengan kerjasama KPDRM itu mempunyai ciri tersendiri yang membezakannya dengan produk yang pernah dihasilkan pihaknya sebelum ini.

“Kami optimis dengan penghasilan produk ini yang berbeza dengan produk lain dihasilkan sebelum ini dan ia dijangka dilancarkan sebelum penghujung tahun.

“Kami yakin KPDRM dapat menawan sebahagian daripada pasaran minyak pelincir automotif tempatan dengan produk jenama sendiri,” katanya.