Kuala Lumpur: Pengedar produk berasaskan makanan ringan milik penuh Bumiputera, ZZ Marketing & Trading menetapkan tempoh 10 tahun lagi untuk produk jenama Lapaa miliknya menembusi pasaran luar negara selepas lebih banyak variasi snek itu diperkenalkan kelak.

Pengurusnya, Mohammad Zulmajdi Basyeer Md Ali berkata, sejak memulakan operasi pada Julai lalu, sambutan diterima cukup menggalakkan bagi kedua-dua jenis makanan ringan yang diperkenalkan iaitu kerepek ubi (basah dan pedas) dan kerepek pisang (abu santai).

Jelasnya, dalam masa lima hari pertama dipasarkan, 100 pek bersaiz 250 gram bagi kerepek ubi dan 130 gram bagi kerepek pisang berjaya dijual, malah lebih 1,000 pek turut terjual pada bulan lalu.

“Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh jenama Lapaa dalam pasaran tempatan terlebih dulu dengan pemilihan produk yang teliti sebelum dipasarkan.

“Realitinya, kami tidak merancang menambah variasi makanan ringan tahun ini sebaliknya ingin pastikan penguasaan pasaran lebih baik untuk dua jenis kerepek sedia ada.

“Menjelang 10 tahun lagi, kami sasarkan membawa masuk produk bersesuaian ke pasaran China, antara negara yang mempunyai kuasa beli yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dengan jangkaan sekurang-kurangnya 8,000 pek produk Lapaa terjual menjelang akhir tahun ini, sasaran lebih tinggi diletakkan untuk 2021.

Ini termasuk menyasar 10,000 pek berjaya dijual dalam tempoh sebulan bagi setiap jenis makanan ringan yang dipasarkan khususnya selepas beberapa variasi yang sedang diperhalusi ketika ini diperkenalkan ke pasaran.

“Apa yang penting, kami mahu ketengahkan produk makanan ringan yang bercirikan cita rasa Malaysia tidak kiralah kerepek atau kuih dan asalkan ia sesuai sebagai makanan ringan dan kudapan.

“Kami juga baru saja membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berhasrat menjadi ejen pada awal bulan ini selepas permintaan agak tinggi diterima untuk tujuan ini di mana sepanjang Julai dan Ogos 2020 kami memasarkan sendiri sepenuhnya secara terus kepada pelanggan,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Mohammad Zulmajdi berkata, meskipun ketika ini pihaknya hanya sebagai pengedar kepada produk pengusaha tempatan, pihaknya tidak menolak untuk menjadi pengeluar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun katanya, status pengedar juga bukan isu besar asalkan pihaknya dapat mengekalkan kualiti serta rasa setiap produk yang diambil dari kilang sebelum dipasarkan.

“Ketika ini kami sendiri mendapatkan bekalan daripada pengusaha tempatan di kawasan kampung yang mengeluarkannya secara komersial di kilang kecil.

“Kaedah ini secara tidak langsung mewujudkan rantaian ekonomi yang akan turut memberi manfaat kepada pengusaha kerepek terbabit, bukan manfaat untuk Lapaa saja.

“Cuma kini kami giat membantu mereka mendapatkan pensijilan yang diperlukan dalam perniagaan mereka sekali gus membolehkan proses kami mendapatkan pengesahan kesihatan dan status halal lebih lancar,” katanya.