Kuala Lumpur: Pelantikan pengurus dan pelaksanaan tadbir urus yang baik adalah dua perkara perlu diberi perhatian dalam usaha kerajaan memastikan sumbangan wakaf dapat digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat.

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Razali Othman berkata, usaha itu bagi memanfaatkan kira-kira 11,091.82 hektar terdiri daripada tanah wakaf am dan wakaf khas bernilai RM1.17 bilion yang masih tidak dibangunkan lagi.

Katanya, nilai ini dilihat meningkat dari sehari ke sehari.

“Pengurus dana wakaf yang dilantik bukan sahaja perlu memahami dengan baik aspek pengurusan dana wakaf daripada aspek hukum syarak, tetapi juga perlu mahir dalam pengurusan kontemporari, seperti pengurusan kewangan, pelaburan dan sebagainya.

“Dalam waktu sama, pengurus yang dilantik perlu bersifat amanah, tidak berat sebelah dan jujur.

“Bagi mencapai hal ini, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme tadbir urus yang baik membabitkan pelantikan pengurus atau pegawai, pengauditan dan pelaporan.

“Mekanisme tadbir urus yang baik ini akan memastikan sumbangan yang dibuat dapat dilakukan dengan cekap,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kesedaran berwakaf, pengurus wakaf yang cekap, kekangan perundangan, tadbir urus baik dan sokongan kewangan adalah antara lima perkara penting perlu diberi perhatian khusus dalam memastikan penambahbaikan wakaf.

Beliau berkata, kurangnya pengetahuan dan salah faham mengenai konsep wakaf sebenar juga sudah menjadi sebab ramai masyarakat tidak membabitkan diri dalam berwakaf.

“Oleh itu, kesedaran ini perlu ditingkatkan dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk pemasaran yang agresif.

“Pengurus yang dilantik pula perlu cekap bukan sahaja dalam hal berkaitan hukum serta syariat wakaf mengikut agama, tetapi juga mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu kontemporari termasuk pengurusan, pemasaran, pelaburan, kewangan dan sebagainya.

“Selain itu, majlis agama Islam negeri-negeri sebagai Pemegang Amanah Tunggal Wakaf di Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) perlu bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian ketidakseragaman perundangan wakaf, bukan sahaja di peringkat kerajaan negeri, tetapi juga di peringkat Persekutuan,” katanya.

Dr Razali berkata, tadbir urus yang baik dengan sokongan kewangan daripada pelbagai pihak kerajaan mahupun swasta akan memastikan aset wakaf dapat dibangunkan dengan jayanya.