ORANG ramai kini boleh melabur serendah lima sen daripada baki akhir perbelanjaan melalui aplikasi Raiz yang kemudian akan dilaburkan dalam dana unit amanah yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah ASNB secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pada peringkat awal platform ini tersedia secara eksklusif untuk pemegang akaun Maybank.

Katanya, PNB juga menyasarkan 60,000 pelanggan akan berdaftar dengan Raiz menjelang akhir tahun ini berbanding 15,000 pelanggan sekarang.

“Dengan penawaran nilai digital, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin mula melabur.

“Idea ini bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasakan dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan lebih berhemah,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi Raiz secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia, George Simon Lucas serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Katanya, pemegang unit boleh memulakan pelaburan dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kad debit Maybank mereka.

Mereka kemudian boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudian membuat pelaburan dengan duit baki berkenaan.

Pelabur juga hanya dikenakan caj RM1.50 sebulan untuk akaun dengan baki di bawah RM6,000 dan 0.3 peratus setahun (dicajkan secara bulanan, dikira setiap hari) untuk akaun dengan baki RM6,000 ke atas.

Sementara itu, Zeti berkata, Raiz di Malaysia bermula apabila bakat muda PNB, Aidi Izham Mohd Khalil yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Raiz Malaysia Sdn Bhd mengemukakan ideanya di Cabaran Inovasi PNB yang diadakan secara tahunan.

“Saya gembira kerana idea menarik ini dapat direalisasikan sebagai aplikasi mudah alih yang berpotensi besar untuk memberi manfaat kepada orang ramai secara menyeluruh.

“Didorong oleh pengalaman dan kepakaran Raiz Invest Australia, aplikasi inovatif Raiz kini tersedia dan boleh dimuat turun oleh semua rakyat Malaysia.

“Dengan pelancaran aplikasi Raiz ini dan memandangkan lebih 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur dengan mudah melalui kaedah ini.

“Seperti kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dalam era teknologi kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit syiling dalam tabung, sebaliknya dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya.