McDonald’s Malaysia membawakan semula Mekdi di 16 restoran terpilih seluruh negara bermula sekarang sehingga 16 September ini.

Ia dibawakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan ulang tahun ke-38 McDonald’s Malaysia.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, papan tanda Mekdi yang juga singkatan panggilan tempatan untuk McDonald’s dan kempen berkenaan diadakan bagi menzahirkan jiwa Malaysia.

Katanya, semua 16 restoran terbabit dipilih sendiri rakyat Malaysia menerusi undian yang dijalankan sebelum ini.

“Dikenali sebagai Mekdi dalam kalangan rakyat Malaysia, jenama McDonald’s terus berkembang dengan sokongan padu pelanggan setia.

“Nama Mekdi mendapat sambutan hangat ketika pertama kali kami memperkenalkan papan tanda itu di restoran ikonik kami di Bukit Bintang tahun lalu dan ia jelas menunjukkan bahawa Mekdi sinonim dengan masyarakat di negara ini.

“Jadi kali ini, kami ingin memberi penghormatan kepada lebih ramai rakyat di seluruh negara dengan menukar restoran McDonald’s kegemaran mereka kepada Mekdi ,” katanya ketika berucap melancarkan papan tanda Mekdi di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Pemasaran Mcdonald’s Malaysia, Azman Mohammad.

Sementara itu, sempena sambutan bulan kemerdekaan, McDonald’s turut memperkenalkan rendang ayam sebagai pilihan hidangan sampingan bersama nasi lemak, ikan bilis rangup, timun segar, telur goreng dan sambal pedas.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih Nasi Lemak McD bersama kepingan Spicy Chicken McDeluxe atau kepingan Grilled Chicken Burger (GCB).

Untuk pencuci mulut, pelanggan boleh nikmati pai jagung, ais krim perisa cendol atau McFlurry Cendol Baharu yang enak dengan gula Melaka, cebisan kelapa, vanila berkrim cair dan jeli cendol.

Azman berkata, hidangan Nasi Lemak McDonald’s bersama rendang ayam boleh dinikmati sehingga akhir September manakala nasi lemak bersama kepingan Spicy Chicken McDeluxe atau kepingan GCB sehingga 9 September ini.