Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), mengumumkan pelantikan Abdullah Abu Samah sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Media Prima berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, pihak Lembaga Pengarah mengalukan kehadiran Abdullah ke Media Prima.

“Beliau membawa bersamanya pengalaman yang luas dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Kami percaya bahawa beliau akan memberikan sumbangan yang besar kepada kumpulan terutama bagi meneraju kumpulan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdullah, 55, adalah Ahli Lembaga Pengarah di Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) dan Pengerusi Extreme Edge Sdn Bhd, anak syarikat Kulim.

Kerjaya Abdullah di KPMG Malaysia bermula pada 1998 sehingga 2020.

Pada 1993, Abdullah dipinjamkan ke KPMG London selama dua tahun untuk menumpukan perhatian kepada sektor perkhidmatan kewangan.

Beliau berkhidmat sebagai rakan kongsi di bahagian audit dari 1997 sehingga persaraannya pada 2020.

Beliau turut berkhidmat sebagai Exco dalam KPMG Malaysia dari 2014 hingga 2018.

Selain itu, Abdullah berpengalaman lebih 32 tahun dalam bidang pengurusan perkhidmatan pelanggan yang merangkumi pelbagai industri dan syarikat multinasional.

Ini termasuk syarikat dalam sektor petroleum, perbankan dan kewangan, pembinaan dan pembangunan hartanah, perhotelan dan hospitaliti, ladang minyak kelapa sawit, pembuatan dan perdagangan.

Selain bidang audit luar, Abdullah juga mempunyai pengalaman luas dalam kajian semula maklumat kewangan prospektif bagi tujuan tawaran awam awal (IPO), isu berkaitan terbitan hak dan terbitan bon.

Beliau juga telah mengetuai pelbagai tugasan audit membabitkan semakan ketekunan wajar kewangan bagi pihak pembeli dalam proses pemerolehan.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Washington, Seattle, Amerika Syarikat dan juga Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan daripada University of the Pacific, California, Amerika Syarikat.

Abdullah juga adalah ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).