KUMPULAN media bersepadu, Media Prima Berhad (Media Prima) dijangka kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2021 dan 2022, demikian mengikut CGS-CIMB Securities International Pte Ltd.

Penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu Asia itu dalam nota penyelidikannya berkata, jangkaannya itu disokong kos operasi yang lebih rendah serta penambahbaikan yang dibuat terutama membabitkan segmen televisyen dan beli-belah di rumah.

Media Prima semalam melaporkan kerugian bersih dalam separuh pertama 2020 (1H20) sebanyak RM38.3 juta, tidak termasuk kos penamatan pekerja RM11.3 juta.

Katanya, kerugian bersih 1H20 itu sesuatu di luar jangkaan berdasarkan dua sebab iaitu pertama ia hanya meliputi 28 peratus daripada unjuran penuh pihaknya dan 49 peratus oleh konsensus.

“Susulan itu, kami menjangkakan kumpulan itu mempamerkan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini dengan pengiklan perlahan-lahan mula kembali selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilonggarkan sejak 4 Mei lalu.

“Kedua, keputusan kewangan itu adalah 25.7 peratus lebih rendah untuk tahun ke tahun (yoy) hasil daripada pengurangan kos yang agresif kerana perolehannya menguncup sebanyak 11.3 peratus yoy,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, CJ Wow Shop yang 51 peratus dimiliki Media Prima meraih manfaat daripada pengguna yang semakin selesa dengan beli-belah dalam talian di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Katanya, untung bersih perniagaan beli-belah di rumah itu pada 1H20 melonjak ke RM6.3 juta daripada kerugian bersih RM7.6 juta pada separuh pertama 2019.

“Kumpulan menjangkakan CJ Wow Shop untuk meneruskan trend keuntungan ini. Ini berserta dengan asas kos yang lebih rendah, melonjakkan semakan semula unjuran kami terhadap prestasi pada tahun kewangan 2021-2022,” katanya.

CGS-CIMB berkata, penyertaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sebagai pemegang saham terbesar Media Prima secara perlahan-lahan, tetapi pasti, membawa banyak perubahan struktur kepada kumpulan berkenaan yang mana pihaknya percaya mampu membantu kumpulan pulih daripada kerugian.

“Susulan daripada peningkatan unjuran dalam tahun kewangan 2020-2022, kami menaikkan sasaran harga (TP) Media Prima daripada 19 sen ke 24 sen,” katanya.