Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM18.1 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2020, memperbaiki kerugian selepas cukai (LAT) berjumlah RM106.3 juta yang dicatatkan pada suku keempat berbanding tempoh sama pada 2019.

Rekod keputusan kewangan yang positif ini adalah bagi suku tahunan kedua berturut-turut.

Media Prima sebelum ini mencatatkan keuntungan sebanyak RM11.8 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2020.

Prestasi berterusan ini mencerminkan usaha transformasi perniagaan yang dimulakan pada awal 2020.

Biarpun berhadapan dengan persekitaran mencabar yang belum pernah dialami, Media Prima mempertahankan perolehan kumpulan bagi tahun kewangan 2020, merekod perolehan RM1.04 bilion berbanding RM1.11 bilion bagi tahun kewangan 2019, iaitu penurunan 6.0 peratus.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, tahun 2020 mencabar bagi semua.

“Namun, Media Prima terus berdiri teguh di dalam keadaan yang sukar ini.

“Kami berterima kasih kerana di samping terus berkembang maju dalam perniagaan, kami juga berjaya mewujudkan suasana yang harmoni untuk penonton di rumah.

“Pencapaian pada suku ketiga dan keempat 2020 menunjukkan keberkesanan usaha transformasi perniagaan kumpulan.

“Biarpun begitu, kami sedar mengenai risiko jangka pendek dan sederhana yang bakal dihadapi akibat pandemik Covid-19 dan kami akan terus mempertingkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Media Prima, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, langkah strategik yang diambil untuk mentransformasi kumpulan yang didorong oleh kakitangan berdedikasi telah merealisasikan perancangan untuk mengakhiri tahun 2020 dengan pencapaian positif.

“Kami sudah mempamerkan daya ketahanan dan kreativiti di dalam norma baru melalui penganjuran beberapa acara maya seperti Karnival Jom Heboh dan Anugerah Bintang Popular BH.

“Azam yang kuat dan ketangkasan kami dalam menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran yang sentiasa berubah ini akan mendorong kepada kejayaan kumpulan,” katanya.

Selain itu, kerugian selepas cukai juga dikurangkan sebanyak 90 peratus kepada RM18.1 juta bagi tahun kewangan 2020 berbanding kerugian sebanyak RM185.5 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Kemajuan ini dicapai berikutan pengurangan perbelanjaan operasi menerusi inisiatif pengoptimuman kos.

Syarikat digital Kumpulan, REV Media Group (REV Media) mencatatkan PAT berjumlah RM10.8 juta berbanding RM1.7 juta setahun yang lalu.

Perolehan bagi tahun kewangan 2020 meningkat sebanyak 21 peratus kepada RM90.1 juta daripada RM74.4 juta.

Perkembangan yang memberangsangkan ini adalah susulan penyatuan semua aset digital kumpulan di bawah REV Media bertujuan untuk mencapai sinergi dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran.