KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) terus berada di hadapan bagi menguruskan peruntukan pembangunan sebanyak RM619 juta dalam usaha membantu usahawan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat 16 Ogos lalu Medac sudah menyalurkan sebanyak RM530 juta atau 85 peratus daripada peruntukan terbabit kepada agensi di bawah kawal selia Medac bagi pembiayaan program pembangunan keusahawanan.

Katanya, ini menjadikan Medac antara kementerian yang berada di hadapan dalam menguruskan prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan terutama bagi membantu usahawan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

“Medac juga sudah mengenal pasti beberapa halangan birokrasi dan red tape yang menjadi batu penghalang kepada pembangunan usahawan negara terutama dalam konteks pembiayaan kepada usahawan.

“Kementerian ini akan terus memastikan kerenah birokrasi ini akan dapat dikurangkan dan perkhidmatan penyampaian agensi di bawah Medac dapat dipertingkatkan.

“Selaras dengan perkembangan terkini Dasar Industri 4.0, Medac akan terus memastikan peruntukan dapat dipertingkatkan bagi membantu usahawan terutamanya usahawan mikro dan sektor informal dapat mengadaptasi automasi, mekanisasi dan digitalisasi dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) di Putrajaya, semalam.

Dr Wan Junaidi berkata, pelaksanaan program pembangunan Medac perlu mengambil kira dasar berkaitan dengan keusahawanan seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), Pelan Strategik Keusahawanan, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 dan maklum balas usahawan.

Menerusi Peruntukan Pembangunan Tahun 2020, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM619.7 juta kepada Medac.

Jumlah itu termasuk peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).