Putrajaya: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menggariskan 86 pelaksanaan program Perancangan Strategik 2021 untuk dimanfaatkan usahawan dan bakal usahawan melalui peruntukan berjumlah RM5.15 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program berkenaan bakal dimanfaatkan pelbagai peringkat dan latar belakang merangkumi program pembiayaan dan moratorium; pembangunan kapasiti dan latihan; pendigitalan dan adaptasi teknologi serta akses kepada pasaran.

Katanya, pelaksanaan hala tuju Medac 2021 ini berteraskan kepada pendekatan Lima E (5E) iaitu Enculture, Enable, Empower, Energize dan Engage.

“Hala tuju ini akan menyokong kewujudan keseluruhan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, seterusnya memacu agenda pembangunan sosio-ekonomi Malaysia yang seimbang dan progresif,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pencapaian Satu Tahun Malaysia Prihatin Peringkat kementeriannya di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad.

Perancangan Strategik 2021 Medac berdasarkan hala tuju 5E itu membabitkan semua bahagian dan agensi di bawahnya membabitkan UDA Holdings; SME Corp Malaysia; SME Bank; Bank Rakyat; Tekun Nasional; Perbadanan Nasional Berhad (PNS); dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Wan Junaidi berkata, antara kejayaan utama sepanjang setahun menerajui kementerian itu adalah melaksanakan Pembangunan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang khusus bagi memastikan kelestarian dan pemulihan operasi perniagaan usahawan.

Ia termasuk perusahaan mikro, perusahaan kecil sederhana (PKS), koperasi, usahawan sosial, syarikat pemula (start-up) dan usahawan formal.

Katanya, fasa pertama pelan pemulihan itu berjaya dilaksanakan antara Mei sehingga Disember tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM171 juta membabitkan 12,138 penerima.

“Antara program yang dilaksanakan adalah Program Mobilepreneur bawah Tekun Nasional dan SME Corp dengan peruntukan berjumlah RM22.98 juta yang dimanfaatkan 9,744 peserta.

“Program Protege Ready To Work juga berjaya melatih seramai 3,559 graduan bagi meningkat potensi kebolehpasaran mereka melalui latihan kemahiran insaniah dan penempatan syarikat.

“Selain itu, INSKEN juga berjaya melatih 617,492 usahawan dan bakal usahawan melalui program latihan dan bimbingan keusahawanan yang hasilnya dapat meningkat prestasi perniagaan usahawan kepada sekurang-kurangnya 20 peratus,” katanya.