MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC) menggalakkan usahawan mikro dan kecil di Malaysia untuk terus mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil daripada MDEC bukan hanya membabitkan kumpulan yang terlibat dalam program kelolaan agensi tersebut.

“Setiap lapisan masyarakat juga boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu perniagaan.

“Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ membantu 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.

Katanya portal itu juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan digital.

Surina berkata, portal tersebut turut digunakan dalam inisiatif Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), pusat sehenti yang menyediakan bantuan latihan dan khidmat nasihat kepada penduduk setempat untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan mereka.

“Program PeDAS ini dilaksanakan di Pusat Internet Desa (PID) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya.

Susulan PKP, MDEC menyediakan senarai perkhidmatan e-dagang untuk kemudahan rakyat Malaysia di laman webnya.

Baru-baru ini, MDEC melancarkan Gerakan #DigitalvsCovid dengan sokongan KKMM untuk menggalakkan rakyat memanfaatkan peralatan dan perkhidmatan digital yang sedia ada bagi menangani impak Covid-19 kepada masyarakat dan ekonomi.