MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya melancarkan inisiatif digital pendanaan awam dengan kerjasama beberapa platform berkaitan untuk membekalkan peralatan kepada petugas kesihatan yang berjuang melawan pandemik Covid-19.

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Global Sadaqah (globalsadaqah.com), pitchIN (pitchin.my) dan SimplyGiving (simplygiving.com).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, peningkatan kes positif yang dicatatkan ketika ini menyebabkan permintaan terhadap peralatan perubatan dan kelengkapan pelindungan diri turut bertambah.

“Petugas kesihatan di barisan hadapan benteng pertahanan kita yang terakhir untuk mengekang penularan virus ini.

“Oleh itu, kita perlu bantu untuk meringankan bebanan mereka dan pada masa sama ia tanda sokongan kepada wira negara.

“Kami harap sumbangan ini digunakan untuk mereka melindungi diri ketika merawat pesakit,” katanya.

Menurutnya, dana yang dikumpul akan disalurkan kepada pertubuhan (http://www.imamalaysia.org/what-we-do/imaret/) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf serta mematuhi protokol ditetapkan MKN20 dalam menghantar peralatan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Antara barangan diperlukan 200,000 alatan perlindungan diri merangkumi sut, dua juta topeng muka tiga lapisan, 100,000 pelindung muka, 20,000 sut pelindung, makanan dan barangan asas serta peralatan perubatan.