Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis), terus menerajui segmen pascabayar, dengan 3.5 juta pelanggan, meningkat sebanyak 4.0 peratus bagi suku keempat 2020 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi segmen fiber pula, Maxis berada pada momentum yang baik dengan pertumbuhan langganan dari segmen keluarga dan perniagaan yang stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, prestasi Maxis untuk suku keempat menunjukkan ketangkasan yang berterusan dalam mengurangkan kesan Covid-19 dan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambil memastikan pelanggan dan perniagaan terus bersaling hubung dalam masa yang mencabar dengan mengekalkan infrastruktur rangkaian yang kuat.

“Ketangkasan kami dalam memenuhi tuntutan suasana unik ini membolehkan kami untuk terus maju dalam menuju cita-cita konvergen kami.

“Di samping kekal optimis dan juga beringat dalam menghadapi keadaan norma baru pada 2021, kami akan terus mengembangkan penyelesaian yang lebih inovatif selain mudah alih, sambil mewujudkan peluang baru untuk pertumbuhan perniagaan bagi seluruh industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maxis merekodkan hasil perkhidmatan yang teguh (tidak termasuk borong) pada RM 1.94 bilion didorong oleh pertumbuhan mudah alih teras, perusahaan dan perniagaan fiber, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) yang dinormalisasi sebanyak RM319 juta, penurunan 6.7 peratus daripada RM342 juta, untuk tempoh sama pada 2019.

Pandemik juga menyaksikan Maxis mengalami tekanan yang lebih tinggi terhadap pendapatan prabayar dan perayauan serta trafik yang rendah ke kedainya, tetapi pada masa yang sama, menyaksikan permintaan lebih tinggi untuk kesalinghubungan berikutan keperluan bekerja-dari-rumah (BDR) dan digitalisasi perusahaan yang dipercepat.

Trafik data terus meningkat pada suku keempat 2020 dan secara keseluruhan, pelanggan Maxis menggunakan purata 20.75 GB sebulan, peningkatan 38.42 peratus tahun ke tahun.

Pada suku itu, Maxis melaburkan RM504 juta dalam kapasiti rangkaian untuk menyokong pertumbuhan trafik data, serta pelaburan dalam pertumbuhan fiber dan perusahaan, menjadikan jumlah pelaburan kapital menjadi RM1.25 bilion untuk tahun ini.

Untuk terus memperkuat liputan rangkaian 4Gnya dan memberikan pengalaman pelanggan terbaik, Maxis sudah membina tapak baru dan meningkatkan tapak sedia ada di Semenanjung dan Malaysia Timur, serta memperluas jejak fiber.

Dengan komitmen dalam pelancaran mudah alih dan tetap untuk Jalinan Digital Negara (Jendela), Maxis terus memainkan peranan aktif dan penting dalam agenda nasional ini dan sudah mencapai 100 peratus daripada sasaran 2020 untuk Jendela pada akhir suku keempat.