SEMPENA ulang tahun ke-25, Maxis menawarkan telefon pintar terkini pada harga hanya RM25 selama 25 hari bermula 25 Ogos nanti.

Ia termasuk Samsung Note 20 5G, Huawei P40 5G dan iPhone 11 untuk pelanggan pelan individu dan perniagaan dengan tawaran berlangsung sehingga 18 September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, ia adalah sebahagian daripada tawaran istimewa disediakan Maxis bagi menghargai sokongan pelanggan selama ini.

“Selain tawaran harga rendah untuk telefon pintar, pelanggan individu juga berpeluang mendapatkan 25GB Internet secara percuma dengan pembelian sah tawaran HotlinkMU Merdeka.

“Ia ditawarkan untuk semua pelanggan Hotlink Prepaid dengan tempoh tawaran dari 20 Ogos hingga 16 September 2020,” katanya pada majlis pelancaran Tujuan Jenama Baharu Maxis yang dilakukan secara maya menerusi penstriman langsung bersama media, hari ini.

Dengan slogan Terus Menerajui, tujuan jenama baru ini dilancarkan seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan sebagai pengiktirafan terhadap hubungan Maxis dan Malaysia khususnya dalam era digital yang berkembang pesat ini.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Maxis akan melancarkan satu siri program digitalisasi untuk individu dan perniagaan sepanjang tahun.

“Antara siri program yang diatur termasuk kursus Digital 101 Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kendalian Maxis Business untuk membimbing PKS mikro menguasai pemasaran digital dan e-dagang melalui bengkel maya.

“Selain itu, kami turut menawarkan program Petua Peranti, Geran Digitalisasi PKS, Maxis IoT Challenge 2020, Indeks Kesediaan Digital Maxis dan hab maklumat perniagaan Maxis,” katanya.