MAXIS Berhad (Maxis) memberi jaminan memberi komitmen dalam menawarkan produk yang menyokong pengguna pada masa tidak menentu ini dengan pendekatan yang mengutamakan rakyat, melindungi kesihatan dan kesejahteraan pekerja dan pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya juga menggariskan pelan tindak balas yang mantap merangkumi pengurusan krisis dan rancangan ketahanan.

“Tahun 2020 berlainan berikutan pandemik Covid-19. Namun, kami memberi jaminan kepada pemegang saham bahawa tanggungjawab dan komitmen syarikat untuk terus menyokong rakyat Malaysia pada masa tidak menentu ini tanpa mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan kakitangan dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Maxis turut mencatatkan sejarah apabila menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) yang ke-11 secara maya buat pertama kali apabila perjumpaan itu dijalankan melalui penstriman langsung dan pengundian dalam talian.

“Hanya individu penting terbabit dalam perjumpaan secara fizikal di tempat penyiaran dengan mematuhi operasi kesihatan dan keselamatan sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakaan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Katanya, pihaknya juga terus memberi komitmen dalam memberi nilai kepada pemegang saham dengan aliran tunai kuat yang disumbangkan oleh inisiatif dan kejayaan program produktiviti Fuel4Growth, serta memenuhi hasrat menjadi Syarikat Penyelesaian Bersepadu di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya gembira dapat melaksanakan AGM secara maya buat pertama kalinya.

“Kami gembira dapat memanfaatkan kekuatan teknologi dan kesalinghubungan untuk melaksanakan AGM maya pertama kami.

“Ini adalah bukti komitmen berterusan kami kepada pemegang saham dalam memenuhi kewajiban kami kepada mereka walaupun dalam keadaan semasa, dan yang penting, dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dijaga dengan baik,” katanya.