INDIVIDU atau pemilik perniagaan yang berdepan masalah pembayaran balik pinjaman disarankan mengambil langkah awal dengan berjumpa bank masing-masing bagi membincangkan penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) pinjaman mereka bagi mengelakkan masalah kewangan lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata, sebelum tempoh moratorium berakhir September nanti, mereka yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman perlu merancang dan bertindak lebih awal dalam menguruskan hutang.

“Peminjam yang menghadapi kesukaran dinasihatkan mencari peluang pada ketika ini untuk berjumpa bank bagi membuat R&R dan jangan biarkan hutang mereka tertangguh bagi mengelakkan tekanan kewangan bertambah teruk.

“Sekiranya peminjam mempunyai pinjaman dengan banyak bank, mereka juga boleh datang ke AKPK untuk mendapat nasihat bagi menstruktur semula pinjaman dan kemampuan membayar balik pinjaman.

“Kami akan berunding dengan bank untuk mendapatkan penyelesaian terbaik,” katanya pada sesi webinar bertajuk R&R: Rancang dan bertindak awal anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), semalam.

Sementara itu, wakil Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Mohd Zaini Aris berkata, peminjam yang berdepan masalah perlu merancang lebih awal untuk menguruskan pembayaran balik pinjaman selepas tamatnya tempoh moratorium.

“Jika tidak bersedia awal, mereka akan menghadapi kesulitan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan malah, ia mungkin menyukarkan perbincangan dengan pihak bank dilakukan terutama berkaitan bagaimana untuk boleh membayar balik pinjaman dan segala obligasi kewangan pada masa depan.

“Selain itu, mereka juga perlu bersedia awal dari segi kewangan dan mental untuk membayar balik pinjaman.

“Mereka tidak boleh tunggu dan lihat dan harus segera berjumpa bank supaya pihak bank boleh melihat situasi dan memberi penyelesaian terbaik selepas tamat tempoh moratorium kelak,” katanya.