Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan tawaran pembiayaan PKS Penjana berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada agensi itu demi kelangsungan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, walaupun ada pelbagai agensi lain yang turut menawarkan skim pembiayaan seumpamanya, namun menjadi hasrat Mara membantu sebanyak mungkin PKS yang perniagaannya terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kami (Mara) diperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM300 juta dan ia sedang diberikan kepada PKS yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Kami tidak hadkan berapa ramai yang mahu memohon, malah setakat ini banyak (permohonan) kami terima yang sebahagiannya sudah mendapat pembiayaan mereka. Kami juga tidak meletakkan syarat yang ketat kerana kami mahu bantu PKS meningkatkan kembali perniagaan mereka,” katanya selepas Program Prihatin MARA-AEON Bersama PKS di pusat membeli-belah AEON, di sini.

Malah, pembiayaan PKS Penjana Mara juga boleh dimohon secara dalam talian namun bagi usahawan yang memerlukan lebih kefahaman mengenai skim itu, mereka digalakkan hadir ke mana-mana pejabat agensi itu di seluruh negara bagi penerangan dengan lebih terperinci.

Zulfikri berkata, Mara akan menyalurkan pembiayaan PKS Penjana mengikut jumlah yang sesuai untuk membangunkan kembali perniagaan usahawan berdasarkan penilaian kepada beberapa aspek antaranya penyata kewangan syarikat, modal pusingan, bayaran sewa dan kadar penggajian pekerja.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama Mara-AEON, beliau berkata, AEON Malaysia membuka ruang niaga kepada 29 usahawan PKS di bawah agensi itu di lima pusat beli-belah syarikat berkenaan sebagai permulaan.

“Program kerjasama ini bermula sejak Jun lalu dan setakat ini secara kasarnya kami lihat, usahawan kita berjaya bangkit semula dengan penjualan produk masing-masing di pusat beli-belah AEON mencapai nilai jualan keseluruhan mencecah RM2 juta.

“Kerjasama ini juga antara inisiatif Mara bagi membantu usahawan PKS yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.