MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beralih kepada platform dalam talian bagi menjalankan program latihan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman berkata, latihan secara dalam talian bermula minggu ini memberi pengetahuan secukupnya terutama dari segi strategi perniagaan dan pemasaran efektif bagi membantu mereka meringankan beban aliran tunai selepas terjejas akibat Covid-19.

“Dalam tempoh PKP, kami menggunakan platform alternatif menerusi media sosial untuk menjangkau selain terus menyokong mereka dan ia percuma.

“(Namun) kami turut melakukan penjadualan semula dan kami memulakan program latihan sebenar sebaik PKP berakhir dan mengenakan bayaran kecil sebagai komitmen untuk menjamin kerusi mereka dalam kursus itu,” katanya.

Zulfikri berkata, Mara memperuntukkan RM6.5 juta bagi 300 program latihan sepanjang tahun ini yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 7,000 PKS dan usahawan.

Pada minggu lalu, Mara mengumumkan memberi kelonggaran dari segi penangguhan bayaran pinjaman perniagaan selama enam bulan serta diskaun 30 peratus membabitkan sewaan premis perniagaannya.

Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, pembiayaan, sewa ruang perniagaan serta latihan akan menjadi teras membantu PKS.

Pada masa sama, agensi itu bekerjasama dengan kalangan pemain industri yang kukuh untuk merangka rancangan strategik membantu PKS ini.

Setakat ini, ada 65,000 peminjam aktif Mara, selain 6,000 penyewa premis dan 22,000 usahawan yang menjalani latihan Mara.

Bagaimanapun, tempoh PKP pada 18 Mac hingga 14 April turut menjejaskan aktiviti jualan dan pendapatan mereka dalam jangka terdekat ini.

Menurutnya, sektor perkhidmatan yang paling terjejas adalah terutamanya kluster perniagaan seperti pelancongan, fesyen dan gaya hidup yang menyaksikan kebanyakan PKS bergantung kepada permintaan asing dan tempatan.

“Oleh itu, PKS perlu mencari jalan untuk memantapkan perniagaan masing-masing dan harus kreatif untuk menjadikan keadaan PKP itu sebagai peluang perniagaan,” katanya.

Zulfikri juga menganggarkan secara purata, PKS akan terdedah kepada penyusutan jualan sebanyak 50 peratus dan peningkatan kos bahan mentah sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Malah, perniagaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali stabil susulan keadaan yang tidak dijangkakan ini.

Mengulas corak aliran pembelian, beliau berkata, penurunan itu lebih ketara dalam industri peruncitan kerana orang ramai memilih untuk berjimat berbanding berbelanja.

“Corak pembelian pengguna akan berubah dengan mengutamakan barangan perlu berbanding mewah,” katanya.

Zulfikri turut memberi jaminan bahawa MARA akan terus memantau keadaan dan melakukan usaha yang kukuh bagi membantu kalangan PKS dan usahawan.

“Keadaan sukar yang di luar jangkaan ini memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan MARA untuk memastikan wawasan dan misinya sebagai agensi sosioekonomi berjalan lancar dan tiada siapa pun yang ketinggalan,” katanya.