Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus menggandakan usaha mengkomersialkan manfaat minyak sawit khususnya kandungan vitamin E daripada tokotrienol yang memberi manfaat khasiat pemakanan kepada manusia.

MPOB dalam kenyataan berkata, kandungan tokotrienol sangat tinggi dalam minyak sawit di mana ia mewakili 738 bahagian per juta (bpj) berbanding bran beras (585 bpj) dan minyak kelapa (25 bpj).

“Kandungan tokotrienol yang tinggi pada minyak sawit berbeza dengan minyak sayuran lain seperti kacang soya, jagung dan bunga matahari yang kaya dengan tokoferol.

“Minyak sawit mentah mengandungi komponen fitonutrien sebanyak 1.0 peratus. Vitamin E adalah fitonutrien tertinggi dalam minyak sawit mentah mencecah 600 – 1,000 bpj,” katanya.

Menurutnya, MPOB melaksanakan penyelidikan tokotrienol sawit sejak tahun 1980-an yang kini berkembang kepada kajian klinikal tokotrienol terhadap pesakit diabetik, kanser dan strok.

“Hasil kerjasama dengan institusi dari dalam dan luar negara membuktikan keberkesanan tokotrienol sawit sebagai agen antikanser, agen antihipertensi dan agen antiaterosklerosis yang lebih baik berbanding tokoferol.

“Tokotrienol sawit juga terbukti berupaya meningkatkan imuniti badan, mencegah penyakit kronik, mengurangkan kecederaan otak disebabkan oleh penyakit strok dan merencatkan pertumbuhan sel kanser.

“Malah, ia juga dapat membantu melambatkan proses penuaan dan bermanfaat kepada kesihatan dan kecantikan kulit,” katanya.

Katanya, selain vitamin E, formulasi produk lain yang ditawarkan untuk pengkomersialan termasuk pil kunyah Tokotrienol Rich Fraction (TRF) sebagai makanan tambahan.

“MPOB juga menghasilkan pelbagai formulasi yang memperkayakan tokotrienol dalam produk makanan seperti biskut, aiskrim dan marjerin serta produk bukan makanan seperti bahan kosmetik dan penjagaan diri.

“Teknologi pengekstrakan vitamin E daripada minyak sawit yang dibangunkan MPOB dikomersialkan oleh Sime Darby Plantations di atas jenama NATRIEO TRI.E Tocotrienols.

“Sarawak Oil Palm Berhad (SOPB) juga mengorak langkah mengkomersialkan teknologi MPOB bagi penghasilan tokotrienol sawit menggunakan jenama T3E Super Vitamin Concentrates.

“Kini, permintaan bagi makanan tambahan untuk kesihatan semakin bertambah selaras dengan peningkatan kesedaran untuk menjaga kesihatan di kalangan masyarakat.

“Pada tahun 2019, pasaran global vitamin E direkodkan bernilai lebih AS$2 bilion dan eksport tokotrienol sawit Malaysia mencecah RM1 juta,” katanya.