SEBANYAK 30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang baharu memulakan perniagaan secara e-dagang masing-masing akan menerima manfaat berjumlah lebih daripada RM1,500.

Ia adalah sebahagian komitmen Shopee dalam kempen e-dagang yang dilancarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ia juga sebahagian komponen Propel Businesses dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dapat merancakkan ekonomi dengan mempercepatkan digitalisasi dalam kalangan perniagaan tempatan serta memberi galakan kepada penjual yang baharu kepada e-dagang.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, melalui kempen ini, MSME baharu di Shopee akan mendapatkan beberapa manfaat seperti jumlah baucar bernilai RM1,000 untuk kedai Shopee mereka bagi membantu memulakan dan menjana hasil jualan.

“Sebanyak RM500 akan dimasukkan dalam kredit iklan yang boleh digunakan oleh penjual untuk meningkatkan keterlihatan kedai dan produk mereka di Shopee.

“Malah, mereka juga mendapat penyertaan percuma dalam Pakej Penghantaran Percuma RM15 Shopee di mana perbelanjaan minimum untuk pembeli menikmati penghantaran percuma dikurangkan kepada RM15 berbanding jumlah biasa RM40 menjadikan kedai MSME lebih menarik kepada pengguna,” katanya.

Katanya, bagi memenuhi syarat penyertaan kempen ini, penjual mesti MSME atau individu warga Malaysia perlu mendaftar sebagai penjual Shopee selepas 1 Januari 2020 dan mempunyai kurang daripada 10 pesanan yang disempurnakan sebelum 1 Julai 2020.