KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) sedang membangunkan platform e-dagang khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, platform yang masih di peringkat kajian oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) itu bakal memberi akses lebih besar kepada PKS dalam menawarkan produk keluaran.

“Kami memiliki lebih 900,000 PKS di Malaysia yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Dengan adanya platform e-dagang khusus untuk PKS, ia akan membuka peluang kepada perniagaan mengembangkan pasaran,” katanya selepas merasmikan Persidangan Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2020 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI), Tan Sri Michael Yeoh; Ketua Eksekutif KSI, Michael Walsh; Ketua Setiausaha Medac, Datuk Seri Mohammad Mentek; serta Ketua Pengarang dan Penerbit China Daily Asia Pacific, Zhou Li.

Mengulas lanjut, Dr Wan Junaidi berkata, Medac buat masa ini akan mengkaji dari segi kos platform e-dagang berkenaan selepas melakukan penilaian terhadap pasaran dalam talian.

Katanya, platform e-dagang khusus untuk PKS yang akan diwujudkan itu bukan untuk menandingi platform sedia ada seperti Lazada atau Shopee, sebaliknya meningkatkan akses rakyat Malaysia membeli-belah, selain membuka ruang PKS menawarkan produk keluaran.

“Kebanyakan PKS menghadapi masalah dalam menjual produk. Kami berharap dengan adanya platform e-dagang khusus ini, ia membolehkan usahawan tempatan meneroka potensi pasaran lebih luas dalam pasaran domestik.

“Malaysia memiliki pasaran yang sangat berpotensi kepada PKS untuk berkembang. Dengan permintaan pasaran tempatan terhadap produk berkualiti PKS, ia akan membuka ruang kepada pasaran lebih meluas.

“SME Corp akan membuat penilaian terperinci mengenai platform e-dagang khusus untuk PKS ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Junaidi berkata, lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan perlu dibuka bagi memastikan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai ekonomi paling kompetitif di Asean selepas Singapura.

Katanya, ia dapat dilakukan dengan meningkatkan jumlah perkongsian antara kerajaan, usahawan dan koperasi, selain memastikan daya saing ekonomi diperkukuhkan menerusi pertumbuhan mampan, inovatif dan inklusif.

“Dalam fasa pembaharuan atau Reform nanti, kita perlu berinovasi dan mempromosikan lebih banyak perniagaan tempatan untuk menawarkan penyelesaian bagi memperkasakan perniagaan termasuk usahawan mikro dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi,” katanya.