Malaysia adalah negara membangun yang aktif berbelanja menentang pandemik COVID-19. Gambar fail/ Bernama.

Kuala Lumpur: Malaysia menjadi antara negara membangun yang berbelanja paling besar dalam usaha menentang serta mengawal kesan COVID-19, menurut artikel terbitan The Economist.

Malaysia membelanjakan sekitar 16 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merangkumi jaminan pinjaman, subsidi gaji dan internet percuma sepanjang tempoh enam bulan.

Ia menjadikan Malaysia negara membangun yang aktif berbelanja menentang pandemik itu berbanding negara lain seperti India yang hanya membelanjakan 0.8 peratus daripada KDNK negara berkenaan.

Bagi Afrika Selatan pula, tindakan fiskal mereka banyak terhalang kerana kos pinjaman yang kian meningkat.

Ia dibuktikan apabila tiga firma penarafan terbesar dunia memansuhkan status gred pelaburan terhadap Afrika Selatan selepas unjuran defisit bajet mereka melebihi lapan peratus daripada KDNK.

Bagaimanapun ketidaktentuan tukaran asing negara membangun kekal menjadi cabaran utama dalam mengurus ekonomi ketika krisis.

Rusia sebagai contoh, menghentikan pemotongan kadar faedah kerana nilai Rouble menyusut teruk akibat ‘perang’ harga minyak dengan Arab Saudi.

Negara membangun lain juga mempunyai hutang dedominasi mata wang asing yang begitu tinggi seperti Argentina.

Ia berbeza dengan Malaysia yang mempunyai kelebihan dasar monetari serta fiskal dalam berdepan tekanan ekonomi.

Bank Negara Malaysia baru baru ini turut mengesahkan sistem kewangan negara mampu menampan kelemahan pasaran berdasarkan ujian tekanan yang dijalankan oleh bank pusat.

Berdasarkan perkiraan yang dilakukan oleh bank Morgan Stanley, sesebuah negara dianggap rapuh jika nilai rizab mereka tidak memadai untuk memenuhi keperluan mereka.

Bank itu mengira jumlah wang yang diperlukan ekonomi membangun untuk melangsaikan hutang asing tahun ini, mencakupi lebihan dagangan, serta jika harga minyak kekal rendah; penghantaran wang daripada tenaga kerja di luar negara jatuh sebanyak 25 peratus; kehilangan pendapatan eksport daripada pelancongan dan pengembaraan; serta pelabur asing melepaskan pegangan dalam saham dan bon sebanyak satu per tiga.

Jumlah perkiraan itu kemudian dibandingkan dengan rizab tukaran asing mereka.

Sekiranya rizab mereka tidak mencukupi, ia akan menjadikan sesebuah negara membangun rapuh dan terpaksa meminjam dalam keadaan pasaran yang tidak stabil.

Ia sekali gus mungkin menyebabkan ada negara membangun yang terpaksa meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Malah IMF sendiri mengesahkan lebih 80 buah negara sudah memohon bantuan sejak beberapa minggu lepas.