Penurunan harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) ke paras bawah sifar dilihat akan memberi kesan kepada harga minyak di Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan harga minyak mentah banyak disebabkan oleh kegiatan spekulasi di pasaran hadapan.

“Kejatuhan harga minyak AS sememangnya memberi kesan secara tak langsung kepada harga minyak di negara ini kerana ada hubung kait rapat antara West Texas Intermediate (WTI) dan Brent.

“Berikutan kejatuhan harga minyak dunia ini, harga minyak di Malaysia menerima tempias dan ia secara tidak langsung menguntungkan pengguna akhir.

“Namun sudah pasti ia memberi kesan kepada pengusaha stesen minyak yang menanggung kos kerugian akibat kejatuhan harga minyak dunia.

“Perlu ada harga lantai untuk memastikan pengusaha minyak tidak terjejas teruk dan dapat mengimbangi kejatuhan harga minyak itu,” katanya.

Menurutnya, penurunan harga bahan api ini sesuatu yang positif kepada pengusaha penghantar makanan kerana mereka dapat meningkatkan margin keuntungan syarikat.

Selain itu, beliau berkata, harga minyak Brent bagaimanapun dijangka kekal stabil sekitar AS$20 hingga ke AS$25 setong dalam jangka masa terdekat ini.

Afzanizam berkata, International Energy Agency (IEA) menjangkakan penurunan di dalam permintaan minyak global sebanyak 29 juta tong sehari (MBPD) pada April dan 9.3 MBPD bagi keseluruhan tahun 2020.

“Perkara ini menunjukkan lebihan minyak akan terus berlaku dengan suasana ekonomi global yang dijangka meleset akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Kelmarin, buat pertama kali dalam sejarah harga minyak mentah AS jatuh ke bawah paras negatif iaitu -AS$37.6 (-RM165.03) setong.

Malah, sejak awal tahun ini, minyak mentah AS jatuh sekitar 85 peratus.