MOHAMED AZMIN: Eksport Malaysia susut 23.8 peratus tahun ke tahun kepada RM64.92 bilion pada April 2020 manakala import turun 8.0 peratus kepada RM68.42 bilion. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan defisit dagangan pada April 2020 selepas merekodkan lebihan dagangan selama 269 bulan berturut-turut.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, eksport Malaysia susut 23.8 peratus tahun ke tahun kepada RM64.92 bilion pada April 2020 manakala import turun 8.0 peratus kepada RM68.42 bilion.

Tambahnya, penurunan eksport, import pada April 2020 telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia berada dalam keadaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau menjangka eksport Malaysia meningkat dalam beberapa bulan akan datang selepas lebih banyak industri kembali beroperasi pada kapasiti penuh sejak 4 Mei, 2020.