Alor Setar: Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) mula beroperasi pada 8 September lalu, 114 hari lebih awal daripada dijadualkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, loji tenaga solar berkapasiti 30 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 134,880 panel fotovoltaik solar dan 14 alat penyongsang (inverter).

“Ia pada awalnya dijangka mula beroperasi pada 31 Disember 2020,” katanya.

Menurutnya, kejayaan mula tugas LSS Bukit Selambau dicapai meskipun berdepan cabaran akibat Covid-19 membuktikan pengalaman dan kepakaran TNB dalam pembangunan projek Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) khususnya projek loji tenaga solar.

“Permulaan tugas LSS Bukit Selambau yang lebih awal satu bukti komitmen TNB dalam memacu penjanaan tenaga boleh diperbaharui untuk negara termasuk keupayaannya dalam melaksanakan projek RE berskala besar.

“Sejajar dengan pemerolehan pegangan majoriti dalam Vortex Solar di United Kingdom (UK) baru-baru ini, ia meletakkan TNB sebagai peneraju RE domestik selain menjadi antara pemain RE ulung di rantau ini dan peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Amir Hamzah berkata, projek kedua LSS itu meningkatkan dan mengukuhkan kapasiti penjanaan solar berskala besar dalam negara dengan menyumbang 80MWac (123MWp) kepada Grid Nasional.

“LSS pertama TNB di Sepang, Selangor (LSS Sepang Solar) berkapasiti 50MW memperoleh tarikh operasi komersial pada November 2018,” katanya.

Projek LSS Sepang Solar dan LSS Bukit Selambau masing-masing dianugerahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli – KeTSA) melalui Suruhanjaya Tenaga menerusi Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.