Kuala Lumpur: Cawangan pertama Lotuss Stores Malaysia (Lotus’s Malaysia) dikhabarkan akan memulakan operasi secara rasmi hujung bulan ini membabitkan cawangan di Kuala Lumpur.

Lotus’s Malaysia adalah penjenamaan semula Tesco Malaysia selepas Tesco Group UK menjual operasinya di Thailand dan Malaysia kepada konglomerat Thailand, Charoen Pokphand Group Co Ltd (CP Group) pada Disember lalu.

Ia menjadikan Lotus’s Malaysia kini adalah anak syarikat CP Group.

Selepas mengambilalih perniagaan Tesco Malaysia pada Disember lalu, Lotus’s Malaysia kini meneruskan operasi semua gedung Tesco sedia ada, merangkumi 8,600 pekerja dan satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran serta 62 gedung di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ia turut memiliki rangkaian beli-belah dalam talian paling meluas di Malaysia dengan lebih 100 trak penghantaran dan operasi di Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan serta Ipoh.

Lotus’s Malaysia dijangka menyelesaikan proses penjenamaan semula ini menjelang akhir tahun ini.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat Tesco PLC yang berpangkalan di United Kingdom bersetuju menjual operasinya di Malaysia dan Thailand kepada syarikat pelaburan Thailand dengan harga RM44.8 bilion.

Bulan lalu, Tesco Malaysia membuat pengumuman menerusi media sosial rasminya yang menyatakan namanya kini ditukar kepada Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd.

Semua cawangan yang masih memaparkan jenama Tesco akan melalui proses penjenamaan semula secara berperingkat.