KERAJAAN menetapkan pelaksanaan undang-undang Liabiliti Korporat kekal berkuat kuasa mulai 1 Jun ini selepas mengambil kira situasi semasa dan pandangan semua pihak.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu dapat menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian.

Katanya, ia juga selari bagi memastikan perniagaan dijalankan tidak terbabit dalam aktiviti rasuah untuk kepentingan mereka.

“Kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“Tidak kira sama ada usaha itu dilaksanakan di peringkat jabatan kerajaan, sektor swasta atau dalam kalangan masyarakat sivil, usaha ini akan terus diberi keutamaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pewartaan peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial.

Peruntukan itu menetapkan adalah menjadi satu kesalahan bagi organisasi komersial sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutunya melakukan perbuatan rasuah bagi faedah organisasi itu.