KERAJAAN masih mempunyai ruang fiskal dan sumber dalaman mencukupi walaupun selepas dua pengumuman iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Prihatin untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Prihatin Tambahan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, defisit belanjawan negara sebelum ini diunjurkan 4.0 peratus berikutan pelaksanaan Prihatin dan meningkat kepada 4.7 peratus selepas penambahan pakej Prihatin Tambahan.

“Namun, defisit belanjawan ini belum mencapai tahap ketika krisis kewangan dunia pada 2008/2009 iaitu 6.7 peratus.

“Alhamdulillah, buat masa ini kerajaan masih mempunyai ruang fiskal dan sumber dalaman yang mencukupi. Sistem kewangan masih mempunyai modal berlebihan berjumlah RM121 bilion, berbanding hanya RM39 bilion ketika krisis ekonomi global pada 2008,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih utama ketika ini adalah memulihkan situasi kesihatan negara.

“Ingin saya tekankan bahawa keutamaan ketika ini adalah memulihkan situasi kesihatan. Lebih cepat kita menangani Covid-19, lebih cepat kita dapat memulihkan dan membangunkan serta memajukan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tengku Zafrul berkata, dengan pelaksanaan pakej Prihatin, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan suntikan fiskal dan ia tentunya akan meningkatkan defisit serta kedudukan hutang kerajaan Persekutuan yang ditetapkan pada siling 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Berdasarkan perundangan, had statutori 55 peratus ini diguna pakai untuk instrumen pinjaman dalam negeri saja.

“Dengan mengambil kira suntikan fiskal ini, hutang domestik dijangka tidak melebihi 55 peratus. Pinjaman domestik bermakna kita tidak terdedah kepada risiko mata wang. Oleh itu, buat masa ini tiada keperluan untuk menyemak semula had siling pinjaman ini.

“Namun, kerajaan akan meneruskan langkah untuk menguruskan pinjaman dan liabiliti negara dengan lebih berhemah. Selain itu, kecairan dalam negeri yang cukup serta kadar faedah semasa yang rendah akan memberi ruang dan kelebihan kepada kerajaan untuk mendapatkan dana tambahan menerusi pinjaman seterusnya, jika perlu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh krisis ini, semua ekonomi negara, termasuk negara maju menghadapi cabaran besar untuk menangani kesan negatif.

“Oleh itu, suntikan fiskal dan pengoptimuman ekosistem kewangan kerajaan amat penting untuk memastikan kapasiti ekonomi negara tidak terus terjejas dan dalam masa sama, beban rakyat dan sektor perniagaan dapat dikurangkan.

“Penilaian agensi penarafan tidak terhad kepada situasi jangka pendek atau respons fiskal saja. Malah, lebih penting, kita perlu terus mengamalkan disiplin fiskal yang tinggi.

“Perancangan strategi dan langkah mengukuhkan fiskal jangka sederhana juga penting dan kerajaan akan memastikan langkah konsolidasi kembali dilaksanakan selepas ekonomi pulih,” katanya.