SERAMAI 9.03 juta rakyat Malaysia sudah menerima kredit e-Penjana bernilai RM50 dalam e-dompet membabitkan jumlah peruntukan RM451.5 juta setakat 14 Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, orang ramai boleh menghubungi penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go e-Wallet sekiranya berdepan sebarang masalah.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai kredit e-Penjana melalui e-dompet pilihan, orang ramai boleh menghubungi tiga penyedia perkhidmatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan mengenai laporan terkini Laporan Laksana ke-17 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Kuala Lumpur, hari ini.

Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Penjana mengumumkan inisiatif e-Penjana membabitkan peruntukan sebanyak RM750 juta bagi membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Tempoh memohon kredit RM50 itu adalah dari 31 Julai hingga 24 September 2020, manakala tarikh akhir penggunaannya adalah pada 30 September 2020.