LAPORAN kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 dan 2019 akan dibentangkan sebelum sidang Parlimen kali ini berakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebelum ini, laporan itu belum dapat dibentangkan selepas berlakunya pertukaran kerajaan pada Februari.

“Laporan audit itu dihantar ke Kementerian Kewangan untuk disemak semula dan Alhamdulillah proses itu sudah selesai.

“InsyaAllah, ia akan dibentangkan sebelum berakhirnya sesi Parlimen kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Muafakat badan bukan kerajaan (NGO) Islam Tangani Nasib Ummah di Shah Alam, hari ini.

ZULKIFLI diiringi Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid melawat pameran selepas majlis pelancaran. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ZULKIFLI diiringi Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid melawat pameran selepas majlis pelancaran. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang mencabarnya untuk membentangkan laporan kewangan Tabung Haji bagi 2018 dan 2019 di Parlimen.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Zulkifli memaklumkan, ia bergantung kepada Kementerian Kewangan.

“Kementerian Kewangan akan memperhalusi pelbagai isu sebelum sebarang keputusan dilakukan berkaitan penubuhan RCI,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, 40 NGO sepakat bekerjasama untuk melihat isu berkaitan Islam dalam dan luar negara termasuk kemelut tidak berkesudahan di Palestin.

40 NGO itu terdiri daripada NGO dari beberapa negara termasuk China, India, Finland, Turkey dan banyak lagi.